Monday, 7 January 2019

SEJARAH SEKOLAH



Sekolah Kebangsaan Sungai Puteri memulakan operasi pada 3 Disember 1990 bagi memenuhi keperluan penduduk sekitar yang terdiri daripada dua buah penempatan baru iaitu Perumahan Rakyat dan Perumahan Nelayan di Sungai Puteri. Pembinaannya menelan belanja kira-kira RM1.2 juta. Sekolah ini dirasmikan oleh YB Tok Muda Mustafar bin Abu Bakar AMN., AMP., ADUN  Tioman. Lokasinya kira-kira 8 km dari bandar Kuala Rompin. Keluasan tanahnya ialah 12 ekar (4.86 hektar). Menerima bekalan sumber elektrik 24 jam. Sekolah ini diklasifikasi oleh Kementerian Pendidikan Malaysia sebagai sekolah luar bandar dan merupakan sekolah kerajaan. Namun status tersebut bukanlah penghalang untuk sekolah ini mencipta kejayaan cemerlang. Pada tahun awal-awal penubuhannya, Sekolah Kebangsaan Sungai Puteri hanya berupaya menghasilkan dua atau tiga orang murid yang mencapai 5A dalam UPSR dengan cabaran utamanya ialah penguasaan Bahasa Inggeris.
Guru Besar pertama yang dipertanggungjawabkan untuk menerajui Sekolah Kebangsaan Sungai Puteri ialah Encik Saudi bin Larkin. Pada peringkat awal penubuhannya pada tahun 1990 pastinya beliau menggalas tugas yang amat berat untuk membangunkan sekolah dalam pelbagai aspek namun berbekalkan semangatdan keinginan untuk melihat anak bangsa berjaya, beliau berusaha dengan gigih untuk memajukan sekolah ini.
Mesyuarat Guru pertama diadakan pada 30 Disember 1990 dan pendaftaran untuk semua murid dijalankan pada 31 November 1990. Pada awal penubuhannya, jumlah muridnya ialah seramai 330 orang (tahun 1 – tahun 5). Sekolah Kebangsaan Sungai Puteri telah menyediakan kumpulan murid pertama untuk peperiksaan UPSR bermula pada tahun 1991.Sesi persekolahannya pada peringkat awal adalah dua sesi iaitu sesi pagi dan petang. Mempunyai 2 blok bangunan kelas dan pejabat dan satu blok kantin.
Seiring dengan masa dan pertambahan kapasiti keperluan pendidikan kesan pembangunan serta pertambahan petempatan di kawasan sekitar membolehkan sekolah ini menerima sejumlah peruntukan pada tahun 2000 bagi tujuan menaik taraf sekolah agar masyarakat setempat dapat menikmati kemudahan prasarana pendidikan yang baik. Dua blok tambahan telah terbina iaitu bangunan yang menempatkan blok pentadbiran dan bangunan yang menempatkan murid tahun satu sekarang.
Pertambahan bangunan baru membolehkan sekolah ini beroperasi pada satu sesi sahaja pada tahun 2002. Antara kemudahan yang disediakan ialah dewan terbuka di bangunan empat tingkat. Dewan ini telah digunakan untuk tujuan mengadakan perhimpunan setiap pagi Isnin dan Rabu. Selain itu, dewan ini juga merupakan tempat warga sekolah menjalankan pelbagai aktiviti. Antara aktiviti terkini yang dijalankan adalah majlis Khatam Quran dan tazkirah sempena bulan Ramadhan. Dewan ini mampu memuatkan kira-kira 800 hingga 900 orang dalam satu-satu masa.
Selain itu, Prasekolah SK Sungai Puteri juga termasuk dalam perluasan Prasekolah dalam RMK-9 (2006-2010). Menurut Kementerian Penerangan daripada sejumlah RM200 billion yang diperuntukkan, sub-sektor pendidikan dan latihan diperuntukkan sebanyak 20.6% (Kementerian Penerangan,14 November 2008). Ternyata hasil kemakmuran negara turut dapat dinikmati bersama oleh SK Sungai Puteri khususnya dan sekolah-sekolah lain di Malaysia apabila Kementerian Pendidikan Malaysia telah memperuntukkan sejumlah dana bagi menaik taraf infrastruktur sekolah.
Pada pemulaan operasinya, sekolah ini telah menempatkan pelajar Tahun 1 hingga Tahun 5 yang tinggal di sekitar Sungai Puteri. Sebelum sekolah ini beroperasi, penduduk setempat menyekolahkan anak-anak mereka di SK Rompin yang lokasinya kira-kira 8 kilometer dari Sekolah Kebangsaan Sungai Puteri. Jumlah murid pada ketika itu adalah seramai 188 orang, manakala tenaga pengajarnya pula adalah seramai 22 orang.
           Sepanjang penubuhannya  terdapat lima orang Guru Besar secara silih berganti telah menerajui sekolah ini. Guru Besar- Guru Besar yang telah menaburkan jasa bakti di sekolah ini sejak penubuhannya hingga kini terdiri daripada:-
BIL
NAMA GURU BESAR
TAHUN BERKHIDMAT

1
ENCIK SAUDI BIN LARKIN
(01.12.1990 – 01.05.1992)
2
ENCIK MD YUSOF BIN MD NOR       
(01.01.1993 – 15.05.1994)
3
PUAN NOAIZAN BINTI JAMALUDIN   
(16.05.1994 – 15.12.2009)
4
TUAN HAJI ISMAIL BIN MOHD SAID  
(16.12.2009 – 29.01.2016)
5
PUAN NOR AZAH BT JANTAN          
(01.02.2016 hingga kini)



Tahun demi tahun Sekolah Kebangsaan Sungai Puteri semakin melonjakkan diri di kelompok teratas di Daerah Rompin dengan mencipta pelbagai kejayaan hasil kepimpinan dan pengurusan yang efisien. Kini semakin terlakar suatu era baru di bangunan yang tersergam indah ini untuk warganya ‘Mencerna Kecemerlangan Minda dengan identitinya tersendiri’.

No comments:

Post a Comment